Sebenarnya memang banyak nama yang berlegar dalam fikiran ini semasa proses menamakan blog aku ini. Antaranya ialah Bacalah, Kita Kongsi Sama-sama, Ideaku dan berbagai-bagai lagi... namun akhirnya aku memilih Anak Dagang. "Mengapa Anak Dagang soal anak sulongku...?"
Ya, mengapa Anak Dagang yang kupilih dari jutaan nama yang boleh ku tetapkan sebagai tajuk blogku. Dengan tenang aku menjawab, "Kita sebagai manusia adalah seorang pedagang seumur hidup kita. Sejak lahir kita sudah mula berdagang, berdagang di bumi Allah ini. Sekarang Abah berada di Kuala Lumpur, juga sebagai pedagang, berdagang keluar dari tanah tumpah darah Abah dan nanti apabila Abah sudah pencen, tak kira dimana Abah menetap, abah akan tetap berdagang dibumi Allah sehingga Abah menutup mata. Begitulah hidup ini, tak terkecuali hidup engkau", begitulah jawapan ku kepada soalan anak sulongku.
Sebenarnya aku sendiri tidak tahu jawapan yang aku berikan itu tepat atau tidak... aku menjawab mengikut logik sahaja. Untuk anakku carilah makna disebalik dua perkataan itu... banyak tafsiran dan anggapan yang boleh diberikan untuk dua perkataan itu. Aku merasakan dua perkataan ini cukup menginsafkan diriku. Sesungguhnya hidup ini penuh simbolik. Hanya Allah yang mengetahui apa yang ada di sebaliknya.
Cukup cerita pasal tajuk blog, aku nak menerangkan serba sedikit mengenai hala tuju blog aku ini. Aku suka blog aku ini dikategorikan sebagai blog yang pelbagai, maksudnya semua kisah ada. Ada kisah hidup, politik, sejarah, humor, sedih dan apa-apa sahaja kisah selagi ianya bernama cerita tapi aku tidak akan menulis cerita yang berunsur lucah.
Susah juga nak memulakan berblog ni, kerana sudah teramat lama tidak memerah otak. Aku takut pada permulaannya, maklum semasa sekolah dulu aku pernah dimarahi oleh guru Bahasa Malaysia kerana tidak dapat menyiapkan tugasan karangan yang diberikan. Malu besar aku pada masa tu, bermula dari situ aku menyahut cabaran cikgu tersebut. Sehingga pada peperiksaan akhir tahun karangan aku telah mendapat pujian dari cikgu tersebut.
Aku pernah cuba untuk meneruskan pelajaran dalam jurusan sastera namun dihalang oleh Tuan Pengetua kerana dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga aku sudah mendapat asas perdagangan, lalu aku membawa diri untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Vokasional. Sebenarnya aku langsung tidak meminati bidang vokasional tetapi aku lagi tidak sanggup untuk meneruskan pelajaran dalam bidang sains atau perdagangan.
Sekarang aku menyesal kerana tidak mengikut kata orang tua, dan akhirnya jadilah apa yang aku jadi sekarang. Untuk anak-anakku berusahalah untuk meningkatkan hasil penulisan kerana ia adalah sebahagian dari cabang kerjaya. Abah akan sentiasa memberikan sokongan untuk kejayaan anak-anak abah.
Moral dari kisah di atas, manis jangan terus ditelan... pahit jangan terus dibuang, seperti bait-bait kata dalam lagu Kamariah Nor dan seterusnya diberi nafas baru oleh Allahyarham Sudirman iaitu Anak Dagang.
Sekian untuk kali ini...kita jumpa lagi di lain ketika. Dengan menulis entri ini maka terisilah masa bertugas aku dengan perkara yang berfaedah. (Mungkin semua orang hairan mengapa semasa bertugas aku dapat menyiapkan dua entri, semuanya akan aku ceritakan dalam entri yang akan datang...Insya Allah....tungguuuuuuuuu.........)